Lockdown Nabi Nuh A.S Paling Lama.

Lockdown Nabi Nuh A.S Paling Lama.

Kira-kira seribu tahun selepas penciptaan manusia pertama, iaitu Nabi Adam A.S., dunia telah mengalami perubahan ketara dalam aspek akidah dan cara hidup manusia. Daripada satu keturunan yang pada asalnya menyembah Allah Yang Maha Esa, manusia mula menyimpang daripada ajaran tauhid dan terjerumus ke dalam amalan syirik. Patung-patung yang pada mulanya dijadikan sekadar simbol peringatan terhadap individu-individu yang soleh, akhirnya dijadikan objek sembahan. Kebergantungan kepada berhala semakin meningkat, sehingga doa dan permohonan dipanjatkan kepada batu dan kayu, manakala Allah S.W.T., Pencipta segala makhluk, dilupakan begitu sahaja.

Dalam suasana yang penuh dengan kesesatan dan kemusyrikan tersebut, Allah S.W.T. dengan sifat-Nya Yang Maha Penyayang telah mengutus seorang lelaki yang terkenal dengan sifat soleh dan amanah, iaitu Nabi Nuh A.S., sebagai rasul kepada kaumnya. Dengan penuh kesabaran dan kasih sayang, baginda menyeru kaumnya agar kembali menyembah Allah Yang Maha Esa, meninggalkan penyembahan berhala, dan kembali kepada fitrah tauhid yang sebenar. Walau bagaimanapun, seruan dakwah Nabi Nuh A.S. tidak diterima dengan mudah. Sebahagian besar daripada kaumnya mengejek, mendustakan, dan bahkan menuduh baginda sebagai seorang yang tidak waras.

Meskipun menghadapi tentangan yang hebat, Nabi Nuh A.S. tidak pernah berputus asa. Baginda terus berdakwah secara konsisten selama hampir seribu tahun, tanpa mengenal erti lelah atau jemu. Meskipun hanya sebilangan kecil yang beriman, baginda tetap teguh menjalankan tanggungjawabnya. Hal ini demikian kerana baginda memahami bahawa hidayah adalah milik mutlak Allah S.W.T., manakala tugas seorang rasul hanyalah untuk menyampaikan risalah dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan.

Namun begitu, usaha dakwah Nabi Nuh a.s. untuk membawa kaumnya kembali kepada penyembahan Allah SWT tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan. Hal ini disebabkan oleh ketaatan mereka yang mendalam terhadap penyembahan berhala seperti Wadd, Suwa', Ya'uq, Ya'uṣ dan Nasr, yang merupakan antara berhala terawal dalam sejarah ketamadunan manusia. Berdasarkan sumber al-Quran, Nabi Nuh a.s. telah berdakwah selama 950 tahun, menyeru kaumnya agar kembali kepada ajaran tauhid. Namun demikian, hanya sebilangan kecil daripada mereka yang menerima seruan tersebut, manakala sebahagian besar tetap menolak dan menentang dakwah yang disampaikan.

Justeru, dalam menghadapi penentangan daripada kaumnya yang enggan menerima seruan tauhid, Nabi Nuh A.S. memanjatkan doa kepada Allah SWT agar diberikan pertolongan. Doa baginda akhirnya dimakbulkan, dan Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Nuh agar membina sebuah bahtera (kapal) sebagai langkah persiapan menghadapi azab yang bakal diturunkan kepada kaum yang ingkar.

Bahtera yang dibina oleh Nabi Nuh A.S. merupakan sebuah struktur yang besar dan kukuh, mampu memuatkan golongan yang beriman serta pasangan haiwan daripada pelbagai jenis. Menurut beberapa riwayat, proses pembinaan bahtera ini mengambil masa selama 40 tahun, menunjukkan kesungguhan dan ketabahan baginda dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Setelah pembinaan bahtera selesai, Nabi Nuh A.S. memerintahkan golongan yang beriman bersamanya serta haiwan-haiwan terpilih untuk menaiki bahtera tersebut. Kemudian, Allah SWT menurunkan azab dalam bentuk banjir besar yang meliputi seluruh bumi. Hanya mereka yang berada di dalam bahtera terselamat daripada bencana tersebut, manakala golongan yang ingkar dan kufur kepada Allah SWT telah ditenggelamkan.

Tragisnya, salah seorang anak Nabi Nuh A.S. yang dikenali sebagai Yam atau Ka’nan turut termasuk dalam kalangan yang tidak terselamat. Hal ini berlaku kerana beliau enggan beriman kepada Allah SWT serta mengingkari nasihat ayahandanya. Sebaliknya, anak-anak Nabi Nuh A.S. yang lain yang turut beriman telah terselamat bersama golongan mukminin.

Bahtera Nabi Nuh A.S. dikatakan berlayar selama 150 hari dan menuju ke arah Mekah sebelum Allah SWT memutarkan perjalanannya selama 40 hari di persekitaran tertentu, lalu mengubah haluan menuju ke Gunung Judiy. Dalam tempoh itu, Nabi Nuh A.S. dan para pengikutnya menunjukkan tahap kesabaran yang tinggi, meskipun berhadapan dengan ujian besar daripada Allah SWT. Kesyukuran dan keimanan mereka tetap utuh meskipun menyaksikan kehancuran golongan yang ingkar.

Kisah ini mengandungi pelbagai pengajaran (ibrah) yang wajar dihayati. Antaranya ialah pentingnya kesabaran dalam menghadapi ujian, keperluan untuk sentiasa bersyukur terhadap nikmat Allah, serta keyakinan terhadap keagungan dan kekuasaan-Nya. Hanya kepada Allah SWT manusia harus meletakkan harapan dan pergantungan, kerana Dialah sebaik-baik tempat meminta dan pemberi segala keperluan. Meneliti perkara ini, kisah Nabi Nuh A.S. bukan sekadar catatan sejarah, tetapi menjadi panduan dan peringatan kepada manusia sepanjang zaman. Penulisan ini membawa implikasi penting terhadap pembentukan nilai-nilai murni dalam diri individu, khususnya dalam aspek kesabaran, keimanan, dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian hidup. Dalam konteks masyarakat masa kini yang berdepan pelbagai cabaran akidah dan moral, penghayatan terhadap kisah ini dapat memperkukuh ketahanan spiritual serta mengingatkan kita bahawa keselamatan hakiki hanya akan diperoleh melalui ketaatan kepada perintah Allah SWT. Justeru, penulisan ini diharapkan dapat menjadi sumbangan kecil dalam usaha membina masyarakat yang berakhlak dan bertaqwa. 

Sekian dan terima kasih.


Comments

Popular Posts